Kuala Lumpur, 30 Mac 2022 – Pihak Uniti Waqi Sdn Bhd (WAQI) dan Kedidi Global Sdn Bhd (KEDIDI) telah menandatangani Memorandum Perjanjian (MOA) bagi projek “FEET4LIFE” bertempat di Tingkat 20, Menara Arina Uniti, Kuala Lumpur, Malaysia. Majlis telah dirasmikan oleh Ybhg En. Amir Hamzah bin Md Isa, CEO Kolej UNITI Port Dickson disusuli dengan ucapan En. Nu’man Hani bin Jamal, CEO UNITI Waqi Sdn bhd dan Dato’ Abdullah Mad Yunus, Penasihat Eksekutif, Kedidi Globa Sdn Bhd. Turut bersama dalam majlis ini wakil-wakil penyumbang korporat dan individu dari pelbagai agensi, NGO, Yayasan mahupun syarikat swasta.
Setelah berjaya menyumbang lebih 450 unit kaki palsu, kini KEDIDI dengan kerjasama WAQI telah melancarkan sebuah lagi projek yang dinamakan sebagai “FEET4LIFE”. “FEET4LIFE” merupakan sebuah projek Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) untuk tujuan Sumbangan Kaki Palsu secara percuma kepada lebih 700 ‘amputee’ (penerima kaki palsu) OKU Asnaf di seluruh negara Malaysia. Sehingga kini, terdapat ribu ‘amputee’ yang kehilangan anggota kaki mereka disebabkan penyakit diabetes, kemalangan mahupun cacat sejak lahir. Kajian mendapati bahawa 65% dari jumlah tersebut adalah dari golongan B40 ataupun asnaf. Disebabkan harga kos kaki palsu di pasaran melebihi lima (5) ribu ringgit dan boleh mencecah puluhan ribu ringgit (mengikut spesifikasi dan fungsi). Hal ini menyebabkan hasrat mereka untuk memiliki kaki palsu hanya tinggal mimpi sahaja.
Maka, sumbangan kepada projek “FEET4LIFE” yang dikempenkan ini sudah pasti akan memberi 1001 manfaat buat penerima sumbangan. Mempunyai kaki palsu ibarat memberi kehidupan semula buat 700 OKU asnaf ini. Dengan sumbangan ini, OKU ‘amputee’ dapat kembali mengurus diri tanpa bergantung kepada orang lain. Selain itu, mereka mendapat kembali peluang berkhidmat dengan baik untuk menyara keluarga bahkan untuk berkhidmat kepada negara dan masyarakat.
Bagi pihak penyumbang korporat dan individu pula, sumbangan melalui projek ini bukan sahaja dapat mengurangkan kadar cukai pendapatan syarikat atau individu, tetapi ianya juga akan meyakinkan para pelanggan, pekerja serta masyarakat terhadap syarikat korporat tersebut sebagai sebuah syarikat yang amat prihatin terhadap kesusahan rakyat. Bagi mereka yang beragama islam pula, sumbangan ini tidak lain tidak bukan pasti akan menjana pahala berterusan kepada penyumbang. Setiap Langkah mereka menggunakan kaki palsu ini, akan diganjarkan pahala buat penyumbang.
Uniti Waqi Sdn Bhd (WAQI) merupakan sebuah syarikat yang memberi fokus kepada projek-projek Wakaf, Wakaf Pelaburan, Sumbangan Infaq dan CSR. Sehingga kini, WAQI telah berjaya membantu menyiapkan projek Mall Wakaf di ASEAN Mall, Pattani di Selatan Thailand dengan menggunakan konsep Wakaf Pelaburan. Selain itu, WAQI juga telah berjaya menyiapkan platform mereka sendiri iaitu waqipay.com yang merupakan sebuah platform sumbangan yang memberi fokus kepada projek-projek wakaf dan CSR.
Manakala Kedidi Global Sdn Bhd (KEDIDI) pula merupakan sebuah syarikat perniagaan berkaitan prostetik yang membuat, memasang, membekal dan memberi perkhidmatan berkaitan kaki palsu, yang telah diusahakan sejak tahun 2017 oleh keluarga (dDTeam). Sehingga kini, KEDIDI telah berjaya menyampaikan lebih 450 unit kaki palsu kepada golongan B40 OKU asnaf di Malaysia secara percuma hasil daripada tajaan CSR korporat.
Akhir kata, pihak WAQI dan KEDIDI ingin menyeru kepada seluruh entiti korporat, Yayasan, NGO dan juga individu untuk sama-sama kita berganding bahu, membantu OKU ‘amputee’ asnaf mendapatkan kehidupan semula secara memberi sumbangan untuk mereka memiliki kaki palsu. Sumbangan boleh dilakukan secara terus ke akaun YAYASAN UNITI, 105210001011, Affin Islamic Bank atau boleh layari website waqipay.com. Kami juga mengharapkan informasi dari orang ramai sekiranya ada dalam kalangan ahli keluarga, jiran mahupun rakan-rakan yang merupakan ‘amputee’ B40 asnaf, untuk memberi maklum kami untuk kami senaraikan dalam calon penerima sumbangan. Sebarang pertanyaan, boleh terus berhubung dengan pihak penganjur di talian +603-2779-6201 atau hubungi +6017-358 6170.