Sukarelawan Yayasan UNITI membantu penerima kaki palsu
Activity, Charity, Education

Feet4Life: 90 Pesakit Amputasi Kembali Melangkah dengan Bantuan Yayasan UNITI

[Sumbangan Etiqa Family Takaful & Maybank Islamic]

KUALA LUMPUR, 29 Mei – Sebuah langkah kecil mampu membawa perubahan besar. Itulah yang direalisasikan melalui Kempen Feet4Life, sebuah inisiatif kemanusiaan anjuran Yayasan UNITI yang sekali lagi menyentuh hati masyarakat apabila berjaya menyumbangkan bantuan bernilai RM451,937.66 dalam Majlis Penyerahan Sumbangan yang berlangsung hari ini di Menara Arina UNITI. Majlis ini telah menyaksikan lebih 90 pesakit amputasi dari seluruh negara menerima kaki palsu secara percuma, membolehkan mereka kembali melangkah – secara fizikal dan simbolik – ke arah kehidupan yang lebih berdikari dan bermaruah. Dilancarkan sejak tahun 2022, Kempen Feet4Life telah menjadi platform strategik bagi menyantuni golongan asnaf dan keluarga B40 yang mengalami kehilangan anggota kaki akibat penyakit atau kemalangan. Sehingga kini, lebih 350 penerima manfaat telah dibantu melalui kempen ini. Dalam ucapannya, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan UNITI, Dr. Syed Omar Syed Agil menekankan bahawa kempen ini bukan hanya tentang memberi kaki palsu, tetapi tentang mengembalikan harga diri, semangat, dan harapan kepada mereka yang selama ini terpaksa bergelut untuk menjalani kehidupan seharian.

“Setiap sumbangan yang kita salurkan adalah pelaburan sosial yang mampu mengubah masa depan seseorang. Feet4Life adalah simbol solidariti antara sektor korporat, NGO dan masyarakat dalam membina masyarakat yang lebih inklusif dan penyayang,” ujar beliau.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran wakil-wakil syarikat korporat dan agensi Islam ternama. Etiqa Family Takaful Berhad tampil sebagai penyumbang utama dengan sumbangan berjumlah RM247,500, diikuti Maybank Islamic Berhad dengan RM144,869.66, serta sokongan daripada Bank Muamalat Malaysia Berhad, YaPIEM, Tenaga Nasional Berhad (TNB), Bank Simpanan Nasional (BSN), Co-op Bank Pertama dan Pharmaniaga Berhad.

Sukarelawan Yayasan UNITI membantu penerima kaki palsu

Sesi penyampaian sumbangan disusuli dengan tayangan video montaj, perkongsian pengalaman, dan demonstrasi pemasangan kaki palsu oleh pihak Kedidi Global Sdn Bhd, yang merupakan antara rakan teknikal utama Feet4Life bersama UNITI Waqi, Progait Prosthetics, MyB Innovation, dan Fadlyani Enterprise. Selain menyampaikan bantuan fizikal, kempen ini turut menyuntik inspirasi kepada masyarakat untuk terus menyokong usaha pemerkasaan golongan istimewa. Setiap pasangan kaki palsu yang diserahkan membawa cerita perjuangan, dan Feet4Life menjadi jambatan untuk mereka menulis bab baharu dalam hidup. Yayasan UNITI terus komited dan optimis bahawa dengan sokongan berterusan daripada pelbagai pihak, Kempen Feet4Life dapat diperluaskan ke lebih banyak negeri, seterusnya memberi manfaat kepada lebih ramai pesakit amputasi di seluruh negara. Usaha ini bukan sahaja mengembalikan keyakinan diri para penerima, malah turut menyumbang kepada pembentukan komuniti yang lebih inklusif, sejahtera dan lestari.

Pesakit amputasi menerima kaki palsu dari Feet4Life
Pesakit amputasi menerima kaki palsu dari Feet4Life

Sehubungan itu, Yayasan UNITI mengalu-alukan penyertaan mana-mana pihak yang berminat untuk menjadi Rakan Penyumbang atau Rakan Strategik dalam menjayakan kempen ini. Bagi individu yang memerlukan bantuan kaki palsu percuma di bawah inisiatif Feet4Life, sila hubungi pihak Yayasan UNITI untuk maklumat lanjut.

Jom bantu lebih ramai pesakit amputasi mendapatkan kaki palsu

Untuk Maklumat Media dan Temubual:
Yayasan UNITI
Tel: +603-2779 6270/ +6019-336 6014 (Puan Aisah)
Emel: [email protected]
Laman Web: https://yayasanuniti.org/
“Feet4Life: Melangkah Semula dengan Bermaruah” Disediakan oleh: Unit Komunikasi & Media Yayasan UNITI