25 Mei 2026
Penyerahan Sumbangan Kaki Palsu Feet4Life Yayasan UNITI

Penyerahan Sumbangan Kaki Palsu Melalui Inisiatif Feet4Life
Yayasan UNITI telah menjayakan Majlis Penyerahan Sumbangan Kaki Palsu di bawah inisiatif Feet4Life sebagai sebahagian daripada usaha berterusan dalam membantu golongan yang memerlukan mendapatkan sokongan mobiliti, keyakinan diri dan peluang untuk menjalani kehidupan dengan lebih berdikari.
Majlis tersebut telah berlangsung pada Khamis, 7 Mei 2026, bertempat di D’Arina Skyview, Level 20, Menara Arina UNITI, bermula jam 2.30 petang hingga 4.30 petang. Program ini turut melibatkan kerjasama strategik bersama Yayasan PETRONAS, dengan sokongan rakan pelaksana dan pihak berkaitan bagi memastikan bantuan yang disalurkan dapat memberi manfaat secara langsung kepada penerima.
Usaha Membantu Penerima Mendapatkan Kembali Mobiliti
Program Feet4Life merupakan antara inisiatif kebajikan berimpak tinggi yang digerakkan oleh Yayasan UNITI bagi membantu individu yang kehilangan anggota kaki mendapatkan akses kepada kaki palsu. Bantuan ini bukan sahaja memberi kesan dari sudut fizikal, malah turut membantu penerima membina semula semangat, maruah diri dan keupayaan untuk kembali aktif dalam kehidupan harian.





